Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

INFO : Penyelesaian kesesakan Lembah Kelang

PROJEK MRT Lembah Klang telah menerima banyak perhatian media sejak enam minggu lalu dan keseluruhan projek kini kelihatan lebih besar daripada yang sebenarnya. Banyak pendapat, kemarahan dan kehampaan diluahkan terhadap cadangan laluan MRT dari Sungai Buloh ke Kajang, sehinggakan semua masalah dan pengalaman pahit yang berkaitan dengan tren penuh, bas rosak dan berjalan di bawah panas terik telah terlepas pandang.
Asas utamanya adalah Lembah Klang amat memerlukan sistem pengangkutan awam yang cekap. Sejak 20 tahun lalu, penduduk Lembah Klang telah mengalami banyak perubahan tetapi penambahbaikan kepada cara bergerak dari poin A ke poin B amatlah kecil. Itulah sebabnya mereka meminta lebih banyak kemudahan daripada projek MRT yang dicadangkan itu. Kos MRT adalah lebih tinggi, namun kesulitan yang bakal dialami semasa tempoh pembinaan adalah lebih besar seterusnya menjadikan harapan penghuni Lembah Klang bertambah lebih tinggi lagi. 
Hari ini, di Lembah Klang, hanya 17% atau anggaran 1.24 juta perjalanan sehari dibuat dengan menggunakan pengangkutan awam yang boleh dihuraikan seperti berikut:

Bas – 600,000 perjalanan (dengan 1,050 bas)
LRT – 400,000 perjalanan (untuk kedua-dua laluan Ampang dan Kelana Jaya)
Monorel – 40,000 perjalanan
KTM Komuter - 100,000 perjalanan 
ERL – 20,000 perjalanan
Teksi – 80,000 perjalanan

Baki 83% atau 6 juta perjalanan dilakukan dengan menggunakan kenderaan persendirian yang kebanyakannya hanya dinaiki oleh satu orang saja. Inilah punca yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dan trafik tidak bergerak walaupun Lembah Klang adalah kawasan yang mempunyai jumlah tumpuan jalan raya dan lebuh raya bertol tertinggi di dunia.

Jumlah penduduk Lembah Klang kini 6 juta orang dan dijangka meningkat kepada 10 juta menjelang 2020. Lembah Klang juga mempunyai 3.2 juta kereta. Bilangan ini terus meningkat pantas – pada kadar purata 30,000 kereta sebulan.

Pada kadar ini, kita akan mempunyai anggaran tujuh juta kereta menjelang 2020, iaitu bilangan yang tidak mampu ditanggung Lembah Klang. Kita sedang menghadapi masalah kekurangan ruang untuk membina lebih banyak jalan raya dan tempat letak kereta. Kereta yang diparkir berkembar atau lebih menimbulkan lebih banyak kesesakan. Kesesakan lalu lintas di bandar raya semakin bertambah dan kini orang ramai menghabiskan lebih banyak masa ke tempat kerja.

Tidak lama lagi, perbandingan yang mengatakan bahawa perjalanan ke tempat kerja mengambil masa lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam akan menjadi tidak benar. Buat masa ini ramai yang mengelakkan pengangkutan awam dan menempuh kesesakan lalu lintas, pembaziran masa dan kehilangan produktiviti.

Situasi ini jauh berbeza dengan keadaan di Singapura, Hong Kong dan London yang bahagian perjalanan pengangkutan awam masing-masing adalah 64%, 74% dan 90%. Semua bandar raya ini mempunyai ciri sama – mereka mempunyai MRT dan pelaksanaan dasar pengangkutan awam, lantas melonjakkan bahagian perjalanan pengangkutan awamnya.

Dasar pengangkutan awam yang baik dan selaras dengan perancangan pengangkutan awam diperlukan bagi memastikan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya menjadi antara 20 bandar raya yang selesa untuk didiami di dunia. Dasar yang berkesan akan menentukan dan mempengaruhi bagaimana masa depan pengangkutan awam. Jika tidak, orang ramai akan menggunakan kereta masing-masing tanpa mengambil masa langsung untuk mempertimbangkan tentang menggunakan MRT.

Kebergantungan kepada kereta adalah akibat sistem pengangkutan yang tidak terancang yang bergantung kepada penambahbaikan sedikit demi sedikit. Salah satu sebabnya adalah kerana tiada perancangan yang selaras oleh agensi tunggal yang bertanggungjawab dalam mengambil kira pengangkutan awam sebagai suatu rangkaian dan bukannya sebagai ‘projek runcit’.

Maka, penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 3 Jun 2010 dengan berkuat kuasanya Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 adalah tepat pada masanya. Fungsi teras SPAD adalah merangka dasar bagi pengangkutan darat, perancangan, pengawalan dan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkenaan pengangkutan awam darat. Kuasa untuk jawatan kuasa ini menjalankan fungsi mereka diperuntukkan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. - Bersambung esok 

2 comments:

  1. sokong..
    cara dia kena pengangkutan awam yg cekap,kurangkan kereta maka KL akan menjadi semakin ok..

    ReplyDelete
  2. Diorang dah fikirkan benda ni lama dah,
    Cuma kerajaan sengaja melengah kan semua ni.
    Dia tahu kalau dari awal lagi dia buat macam ni,
    Memang tak ramai la orang nak beli kereta kan?

    ReplyDelete